Sidang Kemuncak PLRT
Sidang kemuncak ini menghimpunkan 20 pembina keamanan muda untuk mencipta projek berimpak tinggi dan mempamerkan hasil kerja mereka secara bersemuka! Berikut adalah ringkasan sidang kemuncak ini!
Ingin tahu apa pendapat peserta dan penganjur PLRT mengenai keamanan, kebebasan beragama, dan toleransi? Jom dengar pandangan mereka dalam video ini!
Sidang Kemuncak PLRT
Kuala Lumpur, 27-28 Julai 2024 – Initiative to Promote Tolerance and Prevent Violence (INITIATE.MY) telah menganjurkan sebuah Sidang Kemuncak Peace Lab for Religious Leaders and Thinkers (PLRT) dengan kerjasama strategik bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Persatuan Pendidikan Diplomasi Dan Isu Semasa Antarabangsa Malaysia (MyDiplomacy). PLRT adalah satu inisiatif terinspirasi daripada kejayaan Peace Lab untuk Belia (PLY) yang dijalankan pada tahun 2021 dan merupakan versi yang dinaik taraf daripada PLY. PLRT ialah program pemberdayaan belia yang bertujuan mengurangkan risiko radikalisasi dan membina ketahanan sosial dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia melalui penglibatan belia.
Sidang kemuncak ini menghimpunkan seramai 20 peserta PLRT selama dua hari dari seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak. Sebelum sidang kemuncak tersebut, peserta telah mengambil bahagian dalam siri bengkel atas talian yang memakan masa selama 4 minggu pada bulan Mei 2024. Siri bengkel ini memfokuskan kepada kerangka Kebebasan Beragama dan Berkepercayaan (FoRB) serta menangani radikalisasi dan ucapan kebencian melalui kuliah dan perbincangan yang interaktif. Peserta menjalani latihan advokasi, terutamanya dalam kempen media sosial di TikTok, dan pada akhirnya, mereka ditugaskan untuk merangka projek mempromosi hak kebebasan beragama dan toleransi di Malaysia dengan bimbingan mentor.
Pada hari pertama sidang kemuncak, para peserta membentangkan projek mereka yang merangkumi projek video dan analitik media sosial, kepada rakan peserta, penganjur dan alumni PLY. Waskito Jati, Pengurus Pendampingan dan Perkongsian TikTok di Indonesia, Malaysia, dan Filipina, memberi taklimat kepada peserta mengenai garis panduan komuniti platform dan strategi komunikasi berkesan untuk penglibatan awam sekiranya mereka memilih untuk meneruskan kerja advokasi di luar PLRT. Beliau turut berkongsi pandangan mengenai dasar TikTok dalam penapisan kandungan politik dan iklan politik, yang menggabungkan pembelajaran mesin dengan pemantauan manusia untuk menangani maklumat salah.
Pada hari kedua, peserta PLRT mempamerkan projek advokasi mereka di kiosk pameran yang disediakan. Mereka perlu berinteraksi dengan kira-kira lebih 100 orang pengunjung. Pada masa yang sama, Pengasas dan Pengarah INITIATE.MY, Aizat Shamsuddin, merasmikan acara tersebut dengan menekankan fokus program PLRT untuk memberdayakan belia bagi menentang ekstremisme melalui dialog. Beliau menyatakan kejayaan program ini telah mencapai lebih daripada 100 penerima manfaat dan menghasilkan kandungan yang mempromosikan naratif damai. Beliau juga berterima kasih kepada rakan penganjur dan penaja yang terlibat dalam menjayakan program ini. Loke Pak Yen, Ahli Lembaga Suara Belia Kesatuan Eropah (YSBEA), telah menyampaikan ucaptama yang mana menekankan peri penting peranan belia dalam pembinaan keamanan dan menyeru penglibatan mereka dalam membuat keputusan. Beliau menyeru kerjasama rentas sektor serta pelaburan yang lebih besar dalam pendidikan dan kepimpinan dalam memupuk toleransi, jugakeamanan di Malaysia.
Acara diteruskan dengan forum awam bertajuk “Belia sebagai Ejen Keamanan atau Sebaliknya,” yang menampilkan Kasthuri Patto (IPPFoRB), Jason Wee (AoD), Hari Shankar (INITIATE.MY), dan Calvin Ohsey (Gereja Roman Katolik), dengan moderator Elisa Shafiqah (MyDiplomacy). Perbincangan menekankan peranan penting belia dalam keamanan dan keselamatan. Kasthuri Patto menekankan penglibatan politik dan sikap kebertanggungjawaban dalam usaha menangani maklumat salah di kalangan belia. Jason Wee menyoroti isu struktur seperti pengasingan kaum di sekolah dan keperluan untuk perlindungan undang-undang terhadap ucapan kebencian. Hari Shankar pula menekankan literasi media untuk belia bagi menentang ekstremisme, manakala Calvin Ohsey bercakap mengenai peranan agama yang boleh menyatukan dan memecahbelahkan. Beliau juga menyeru kepada usaha memupuk budaya dialog antara agama serta penglibatan belia. Sesi soal jawab menumpukan kepada memupuk persefahaman dan menangani radikalisasi.
Acara diakhiri dengan ucapan penutup daripada Goh Hui Xian daripada MyDiplomacy, Eow Shiang Yen dari MBM, dan Terence Serné daripada Kedutaan Belanda, diikuti dengan sesi graduasi peserta PLRT. Dua pemenang geran benih diumumkan: Thenes A/L Partipan untuk projek videonya “Perpaduan dalam Kepelbagaian: Kebebasan Beragama & Berkepercayaan” dan Sofea Binti Mohd Hannan Guiani Abdullah untuk projeknya “Pandang ke Sabah,” masing-masing menerima geran permulaan sebanyak RM1,000 untuk meneruskan projek advokasi mereka.
Melalui PLRT, INITIATE.MY telah membina rangkaian pemimpin agama muda yang mampan, dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mempromosikan keamanan dan toleransi demi Malaysia yang lebih baik.
Untuk pertanyaan dan cadangan kerjasama, sila e-mel kepada kami di salam@kmumalaysia.org.