Penyalahgunaan Bendera Al-Liwa dan Ar-Rayah Demi Kecenderungan Politik Ekstrim

Oleh Ahmad Muziru Idham
Beliau adalah seorang penyelidik bebas dalam bidang Analisis Strategi dan Keselamatan.

 

Sewaktu musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos 2023, tular beberapa video yang memaparkan sekumpulan belia beraksi mengibarkan panji al-Liwa dan ar-Rayah berserta bendera parti politik.1 Al-Liwa dan ar-Rayah merupakan bendera dan panji yang dibawa oleh Rasullullah SAW. Ciri-cirinya terkandung dalam hadis Nabi SAW, “Panji (rayah) Rasulullah SAW berwarna hitam, dan benderanya (liwa) berwarna putih, tertulis di dalamnya: “Lā Ilāha Illallāh Muhammad Rasulullah.” (Hadis Riwayat Ath-Thabrani)2

Sekumpulan remaja telah dilihat mengibarkan panji al-Liwa dan ar-Rayah bersama bendera parti politik lain sambil menunggang kuda di sebuah jalan yang sesak. Kejadian ini dipercayai telah dirakam di Kubang Semang, di daerah Seberang Perai Tengah dan dimuat naik ke laman TikTok @aqimportwaris pada 19 November 2022, hari PRU 15.

 

Sekumpulan remaja yang sama telah dilihat mengibarkan bendera al-Liwa dan ar-Rayah bersama bendera parti politik lain sambil menunggang kuda berhampiran sebuah premis awam di Kampung Pelet, Kubang Semang. Rakaman ini dipercayai dirakam dan dimuat naik ke laman TikTok @ipintoyota pada 19 November 2022, hari PRU15.

 

Seorang lelaki telah dilihat mengibarkan panji al-Rayah di tengah-tengah sebuah jalan sibuk, di lokasi yang tidak diketahui. Rakaman kejadian ini dipercayai telah dirakam dan dimuat naik ke laman TikTok @queennazz sehari sebelum PRN pada 12 Ogos 2023. Video tersebut telah menerima lebih 199.7 ribu ‘likes’ dan hampir 3 ribu komen, di mana kebanyakan pengomen menyokong tindakan itu sebagai persiapan dan seruan jihad.

Jika melihat kepada konteks hadis-hadis Nabi berkaitan al-Liwa dan ar-Rayah, boleh dikatakan bahawa kebanyakan hadis menunjukkan al-Liwa dan ar-Rayah merupakan bendera dan panji yang dibawa sebagai simbol pasukan Islam di medan perang. Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitab Fath al-Bari menyatakan bahawa ar-Rayah dipegang oleh panglima perang, manakala al-Liwa harus selalu berada dekat dengan pemimpin perang dan bergerak seiringan dengannya.3

Sebab itu dalam suatu hadis riwayat Bukhari, sewaktu Perang Mut’ah, sahabat Nabi sanggup menjaga ar-Rayah sampai hilang nyawa dan berpindah tangan ke sahabat lain bermula dengan Zaid Haritsah, Ja’far, dan kemudian Abdullah bin Rawahah yang akhirnya gugur juga di jalan Allah SWT.4 Kibaran paling aman untuk panji itu pun Nabi bawa sewaktu peristiwa Fathul Makkah. Ia tentang siap-siaga Nabi andai berlaku perang di jalanan, justeru masih membawa mesej kekuasaan.

Hal ini menunjukkan bahawa al-Liwa dan ar-Rayah itu merupakan simbol kepada peperangan. Mesejnya ialah mesej kekuasaan. Pada zaman dahulu, bendera dan panji adalah bererti maruah tertinggi kepada pasukan dan menunjukkan bahawa pasukannya masih ada pemimpin perang. Maka, ia harus dijaga dengan sebaik-baiknya. Bendera yang jatuh ke tanah adalah simbol kepada kekalahan.

Jadi, apabila al-Liwa dan ar-Rayah dikibarkan sesuka hati di jalanan pada hari ini, perbuatan sedemikian merupakan suatu tindakan yang salah kerana ia menyampaikan suatu mesej yang mengundang ketakutan kepada orang lain.

Pertama, ia membawa pesan siap-siaga untuk menghadapi peperangan. Kedua, ia menunjukkan suatu pertembungan di antara orang Islam dan orang kafir. Ketiga, ia seolah-olah melambangkan bendera Islam. Ketiga-tiga perkara itu merupakan simbol dan teologi Islam yang salah. Ditambah pula perubahan zaman menyaksikan ar-Rayah dan al-Liwa itu telah berubah mesej simboliknya apabila para pengganas seperti Daesh dan kumpulan militan seperti Taliban yang menyalahgunakannya sebagai simbol kekuasaan dan penaklukan politik. Maka, lagilah perlu berhati-hati untuk tidak memaparkan mesej yang salah tentang agama dan tidak mewujudkan ketakutan kepada masyarakat.

Tambahan lagi, perbuatan sedemikian sangat bercanggah dengan konteks negara Malaysia yang (1) memiliki masyarakat majmuk berbilang bangsa dan agama tanpa konflik bersenjata; (2) setiap warganya adalah setara dan memiliki hak yang sama di sisi perlembagaan dalam hal ehwal kewarganegaraan; (3) kedudukan Malaysia sebagai antara negara Muslim yang memiliki minoriti bukan Islam terbesar dalam kalangan negara-negara Organisation of Islamic Cooperation (OIC) perlu lebih peka dalam memelihara keharmonian kaum dan agama.

Paling utama, tidak adanya sesuatu yang dinamakan sebagai bendera Islam. Ia cumalah bendera yang digunakan oleh pasukan Nabi dalam peperangan. Ia tidak menjadi simbol keIslaman kerana agama Islam tidak disimbolkan oleh bendera dan panji.

Jadi, kibaran al-Liwa dan ar-Rayah di tempat awam begitu siap dengan aksi berkuda adalah sesuatu yang sangat berbahaya di saat sebilangan pempengaruh politik dan agama bermain-main dengan hasutan keganasan tentang peristiwa 13 Mei sedang berleluasa di TikTok sewaktu PRU15. Pemerhatian kandungan TikTok oleh INITIATE.MY tentang naratif ekstremisme semasa PRU15 menunjukkan bahawa majoriti kandungan tersebut mengandungi seruan keganasan, termasuk mesej jihad melawan “musuh Islam” dan simbol keganasan seperti keris, pedang, anak panah dan lagu-lagu jihad.5

Pempengaruh jadong dan pengikut taasub mereka tidak menghiraukan kesan negatif yang ditimbulkan oleh ‘fear mongering‘ kepada masyarakat, malah bersedia melakukan apa saja demi kepentingan politik, populariti, dan wang. Bahaya terbesarnya adalah pada penyampaian mesej ekstremisme ke dalam fikiran masyarakat, terutamanya golongan belia, bahawa Islam sentiasa berada dalam mod peperangan ataupun memusuhi non-Muslim. Perbuatan tersebut boleh menyebabkan ketakutan kepada masyarakat non-Muslim, lantas mewujudkan jurang sektarian antara penganut agama di Malaysia.

Kibaran al-Liwa dan ar-Rayah yang kononnya melambangkan perjuangan Islam sebenarnya merupakan propaganda politik yang licik dan manipulatif apabila (1) memaparkan bendera yang tertera kalimah syahadah sebagai suatu bentuk bendera Islam, walhal Islam tidak pernah disimbolkan oleh bendera atau panji; dan (2) memanipulasi pandangan awam untuk meraih sokongan politik kepartian melalui simbol keagamaan dengan aksi-aksi yang kononnya membangkitkan memori perjuangan zaman Nabi, walhal mesej yang sampai kepada minda masyarakat adalah sesuatu yang bersifat ekstrim.

Dalam mengekang daripada penularan fahaman ekstremisme yang berpunca daripada pemanipulasian sebilangan pihak terhadap simbol al-Liwa dan ar-Rayah ini, setidak-tidaknya perlu diusahakan tiga langkah berikut:

Pertama, pihak berkuasa perlu pantau dan ambil tindakan yang setimpal ke atas pempengaruh dan rangkaian mereka yang menyebarkan mesej dan melakukan aksi berunsur ekstremisme. Penyalahgunaan panji al-Liwa dan ar-Rayah merupakan suatu bentuk semboyan provokasi dan boleh menggugat keharmonian awam seperti yang telah diterangkan di atas. Jadi, tindakan ekspresi politik ini tidak boleh dibela atas nama hak demokratik demi menjaga keharmonian masyarakat Malaysia yang majmuk dan ketenteraman awam. Banyak lagi alternatif lain dalam menyuarakan pendapat politik seperti perdebatan dan penggunaan lambang politik yang sihat tanpa perlu mengeksploitasi agama.

Surujanjaya Komumikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta bahagian dasar syarikat media sosial seperti TikTok perlu memantau dan menurunkan kandungan-kandungan yang membawa unsur ekstremisme agar tidak menular dan mempengaruhi masyarakat.

Kedua, peranan agamawan untuk membetulkan kefahaman masyarakat. Para agamawan harus memanfaatkan institusi kefatwaan di peringkat negeri dan kebangsaan dalam menyuarakan tegahan tentang penyalahgunaan perlambangan agama yang digunakan bagi tujuan politik ekstrem. Malah, para agamawan perlu mengajak masyarakat kepada penyatuan berbilang agama dan bangsa – terutamanya pada waktu getir seperti musim pilihan raya – di mana isu kaum dan agama diapi-apikan.

Hasil dapatan INITIATE.MY menunjukkan bahawa lebih 781 buah undang-undang dan fatwa yang telah digazetkan, yang menjenayahkan kebebasan beragama, berfikir dan berbudaya, terutamanya yang menyasarkan minoriti agama atau mazhab.6 Sebaliknya, hanya ada 3 buah negeri, iaitu Sabah (2017), Selangor (2016), dan Penang (2014) yang mengazetkan fatwa pengharaman jihad ganas dan penglibatan dalam kumpulan Daesh. Perlu ada lebih banyak fatwa yang menegah fahaman dan perbuatan ekstremisme agar masyarakat lebih sedar dan berhati-hati dengan fahaman ekstrim.

Jadi, para agamawan dan institusinya harus terkehadapan sebagai ejen pendamai dalam menegur sikap masyarakat terutamanya ahli dan penyokong parti politik. Jika agamawan sendiri pun mengabsahkan atau membiarkan perkara ini, kelak masyarakat akan terus melakukan pengeksploitasian agama dengan cara yang lebih berbahaya lagi.

Ketiga, memperbanyakkan wacana tentang ekstremisme. Tindakan mengibarkan panji al-Liwa dan ar-Rayah dengan aksi berkuda di jalanan menunjukkan tanda-tanda awal radikalisasi dalam masyarakat belia. Wacana ekstremisme di Malaysia perlu dikupas dengan lebih meluas yang bukan sahaja merangkumi ekstremisme melibatkan perbuatan ganas atau terorisme, bahkan termasuklah ucapan kebencian, simpatisan kumpulan ganas, atau penggunaan lambang politik ekstrem.

Melalui Pelan Tindakan Kebangsaan Bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (NAPPCVE) yang akan dilancarkan oleh kerajaan, satu program pendidikan perlu dilaksanakan bagi memberi pencerahan dan kefahaman mendalam kepada masyarakat berkenaan tanda-tanda kecenderungan ekstremisme serta kesan bahayanya terhadap keharmonian awam. Hal ini boleh dilaksanakan secara bersama dengan pihak Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) dalam sektor keselamatan dan pendidikan bagi meningkatkan keberkesanan pelan pendidikan ini kepada setiap lapisan masyarakat, terutamanya generasi belia.

 

 

1. Sila rujuk: https://vt.tiktok.com/ZSNrCAgtt/

2. Al-Tabrani, Abi al-Qasim Sulaiman ibn Ahmad. 1995. Hadis No. 219. Al-Mu’jam al-Awsat. Mesir: Dar al-Haramain.

3. Al-‘Asqalani, Ahmad ibn ‘Ali ibn Hajar. 1976. Al-juz’ al-sadis, 121 – Bab Mā Qīla fī Liwā’ an-Nabiy sallallāhu ‘alaihi wasallam. Fath al-Bari bi-Syarh Shahih al-Bukhari. Kaherah: Dar al-Rayyan li al-Turath.

4. Al-Bukhari, Abi Abdullah Muhammad ibn Ismail. 2002. Hadis No. 4261. Shahih al-Bukhari. Beirut: Dar Ibn Kathir.

5. Zainal, H. & Irfan, S. (2022). INITIATE.MY: The Trends of Extremism on TikTok Around The Period of Malaysian GE-15 [Canva slides].

6. Sila rujuk: https://initiate.my/freedom-of-religion-and-belief/