Perkasakan Peranan Pertubuhan Masyarakat Sivil dalam Pelan Tindakan Pencegahan Keganasan

 

Oleh Aizat Shamsuddin
Beliau adalah adalah penganalisa dan pengamal dalam bidang pencegahan fahaman pelampau (PVE), tadbir urus yang baik dan hak asasi manusia.

 

Ketika ini kerajaan Malaysia masih dalam proses membangunkan Pelan Tindakan Kebangsaan Bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan atau singkatannya NAPPCVE di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN). Pelancarannya dijangka dilakukan pada suku kedua tahun 2022.

Namun begitu, sehingga Disember 2021 lalu, hanya tiga buah siri perundingan kerajaan bersama wakil pertubuhan masyarakat sivil (CSO) telah dijalankan. Proses ini masih dilihat selektif dan tidak memadai untuk pemerkasaan peranan masyarakat sivil. Jika dibandingkan proses yang berlaku di Indonesia yang telah melancarkan Pelan Tindakan bagi tahun 2020-2024, proses libat urus mereka dilihat lebih inklusif dan teliti dalam mengambil kira pendapat masyarakat sivil.

Masyarakat sivil merupakan tonggak utama kepada sistem demokrasi dan memiliki peranan strategik dalam pencegahan keganasan dan pembinaan keamanan dalam sesebuah negara. Ia selari dengan saranan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dalam resolusi 70/262 (2016) yang menekankan pendekatan keseluruhan masyarakat (a whole-of-society) dalam usaha menangani faktor yang menyumbang kepada keganasan.

Walaupun Unit Khas Anti-keganasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan tanggungjawab yang cekap dalam menggagalkan siri cubaan dan serangan pengganas, penggubalan Pelan Tindakan ini perlu mengambil langkah proaktif dalam membendung penyebaran ideologi ekstrem dan tidak bertoleransi oleh gerakan atau individu tertentu di ruang awam mahupun melalui platform maya.

Dalam hal ini, ia tidak terhad kepada pejuang kumpulan pengganas seperti Daesh dan al-Qaeda sahaja, malah simpatisan dan pengikut gerakan ekstrem turut menyumbang kepada ancaman keselamatan negara dan kesepaduan masyarakat majmuk kini.

Jadi, ancaman yang meluas ini memerlukan penglibatan masyarakat sivil untuk turut serta memainkan peranannya. Pelan Tindakan ini adalah sebuah batu loncatan untuk memperkasa peranan CSO melalui penglibatan dan kerjasama bersama badan dan agensi kerajaan, selaku rakan strategik kepada kerajaan.

 

Pada 3 Mac 2022, jam 11 pagi, INITIATE.MY bersama SUARAM dan SIS telah menyerahkan memorandum yang ditandatangani oleh lebih 30 wakil CSO Malaysia di hadapan bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN), untuk menuntut penglibatan CSO dan pelan yang lebih komprehensif. Memorandum tersebut telah diterima oleh Encik Mohd Rizal Hashim, Timbalan Setiausaha Bahagian Unit Komunikasi Korporat, KDN.

 

Justeru itu, terdapat lima cadangan yang boleh dipertimbangkan:

Pertama, libat urus bersama wakil-wakil CSO dalam penggubalan Pelan Tindakan. Proses ini adalah fundamental untuk mengambil kira idea dan amalan terbaik dalam merangka program pencegahan ekstremisme yang berkesan dan holistik serta mengenalpasti peranan masyarakat sivil dalam pelaksanaan yang mungkin akan mengambil masa empat ke lima tahun sebelum Pelan Tindakan disemak semula.

Kedua, mekanisme semak imbang dalam penguatkuasaan undang-undang anti-keganasan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA). Isu-isu seperti salah guna kuasa bermotifkan politik dan perlindungan hak asasi tahanan boleh dibincangkan bersama misalnya dengan penubuhan sebuah jawatankuasa bebas yang terdiri daripada ahli yang seimbang seperti wakil masyarakat sivil, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan ahli parlimen multipartisan. Jawatankuasa bebas ini adalah platform dialog dua hala antara badan kerajaan dan bukan kerajaan untuk meneroka langkah reformasi sistem selari dengan prinsip demokrasi.

Ketiga, pembangunan program pencegahan ekstremisme perlu menjadi teras kepada Pelan Tindakan untuk mengukuhkan daya tahan sosial dan membendung lebih awal ancaman radikalisasi. CSO boleh memainkan peranan bersama komuniti bersasar dan pemegang taruh lain dalam membangunkan modul serta melaksanakan program seperti pendidikan kedamaian, celik media, sensitiviti gender dan toleransi antara agama atau mazhab.

Keempat, pembangunan program pemulihan dan reintegrasi (R&R) yang menyeluruh. Penglibatan masyarakat sivil penting dalam mereka bentuk dan melaksanakan program R&R bersama pihak PDRM, Jabatan Penjara Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyatakat (JKM) termasuklah dalam memberikan perkhidmatan sosial seperti khidmat nasihat psikologi, pekerjaan dan pendidikan antara agama dan kaum, juga latihan kemahiran vokasional. Ini boleh membantu bekas tahanan dan keluarga mereka menyesuaikan diri untuk kembali ke dalam masyarakat yang bersifat majmuk dan tidak mengulangi jenayah lampau. Pada masa yang sama, program kesedaran umum perlu digiatkan untuk mengurangkan stigma terhadap mereka.

Kelima, sebuah mekanisme pemantauan dan penilaian (P&P) berasaskan penyertaan penuh masyarakat sivil perlu dibangunkan untuk mengukur keberkesanan pelaksanaan Pelan Tindakan. Ia dapat menggalakkan proses pembelajaran dan perkongsian maklumat dua hala dan hasilnya boleh digunakan untuk langkah penambahbaikan kualiti pelaksanaan Pelan Tindakan dari masa ke masa.

Tuntasnya, penglibatan CSO dalam Pelan Tindakan dapat menyokong amalan tadbir urus yang baik seperti ketelusan dan kebertanggungjawaban di peringkat kerajaan. Sudah tentu juga, proses libat urus yang lebih inklusif dan teliti dapat menatijahkan sebuah Pelan Tindakan yang lebih bersepakat, bersepadu dan berkesan untuk mencapai matlamat yang diidamkan.

Dalam jangka masa panjang, hal ini boleh membina kepercayaan masyarakat awam terhadap pelaksanaan sesuatu dasar atau undang-undang dan turut merapatkan jurang hubungan antara badan kerajaan dan bukan kerajaan dalam proses pembentukan polisi sebegini, melalui proses dialog dan kerjasama yang berterusan.