Dapatan Penting daripada Program Deradikalisasi untuk Bekas Tahanan Guantanamo

Oleh Dr. Haezreena Begum binti Abdul Hamid, Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya. Beliau merupakan ketua panel penilaian program deradikalisasi dilantik oleh PDRM dan telah menjalankan penilaian risiko terhadap tahanan Malaysia yang dihantar pulang dari Teluk Guantanamo. Beliau juga telah tampil di Salam Stage dengan cerita pentingnya ‘peluang kedua’ untuk bekas tahanan. Sila tonton di sini

 

Kepulangan dan proses integrasi semula bekas tahanan Guantanamo memberikan gambaran unik terhadap realiti usaha menentang keganasan, deradikalisasi, dan kerentanan manusia. 

Pengalaman dua warganegara Malaysia yang dirujuk di sini sebagai En. M dan En. K yang ditahan lebih daripada 21 tahun di “black sites” milik Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan rejim tahanan Guantanamo menunjukkan bukan sahaja kesan mendalam akibat penyeksaan dan penahanan berpanjangan, tetapi turut membawa pengajaran penting dalam menambah baik dasar dan amalan dalam bidang Anti-Keganasan (CT) dan Pencegahan dan Penanganan Ekstremisme Ganas (PCVE) di Malaysia dan di peringkat antarabangsa. 

Penilaian pelbagai disiplin selama tiga minggu yang dijalankan dari Disember 2024 sehingga Januari 2025 mendedahkan bahawa usaha deradikalisasi masa kini tidak boleh bergantung kepada model ideologi yang cetek atau “pakar” yang tidak disahkan. Sebaliknya, ia memerlukan pemahaman yang lebih mendalam terhadap trauma, pengalaman hidup, amalan berasaskan hak asasi manusia, dan perlindungan berstruktur untuk mencegah salah tafsir dan paksaan.

 

Dapatan Penting

Pertama sekali, trauma adalah elemen teras dalam deradikalisasi.

Trauma membentuk secara asas perjalanan seseorang dalam proses deradikalisasi. Kedua-dua individu ini mengalami penyeksaan fizikal dan psikologi yang ekstrem selama bertahun-tahun, termasuk kekurangan tidur, rendaman dalam air sejuk, dirantai, dipukul, serangan deria, pengasingan yang berpanjangan, penghinaan seksual dan hidup dalam ketakutan yang berterusan dan diikuti pula dengan hampir dua dekad penahanan terkawal di Guantanamo.

Pengalaman ini membawa kesan jangka panjang dari segi emosi dan kognitif termasuk mimpi ngeri, kewaspadaan melampau, keresahan dan pencetus trauma yang mendalam yang kekal walaupun selepas dihantar pulang. Trauma sebegini tidak boleh dipisahkan daripada kerja deradikalisasi.

“Pakar yang tidak mempunyai kefahaman dalam bidang klinikal atau sains sosial berisiko menyalah tafsir respons trauma sebagai “petanda radikalisasi”, yang seterusnya boleh memudaratkan individu terbabit dan menjejaskan kredibiliti program deradikalisasi. Mana-mana pakar yang terlibat dalam dasar atau amalan  CT/PCVE mesti mempunyai kecekapan mengenal pasti trauma dan memahami mekanisme psikologi kelangsungan hidup dalam persekitaran penahanan ekstrem.”

Kedua, kepakaran mestilah sahih, bukan sekadar bersifat simbolik.

Terdapat keperluan untuk menyemak kelayakkan dan kredibiliti individu yang mendakwa sebagai “pakar” dalam ekosistem CT/PCVE. Dalam satu kes, terdapat pihak yang mendakwa mewakili kerajaan dalam rundingan berkenaan pembebasan seorang tahanan ternama walaupun tidak mendapat mandat rasmi dari kerajaan. Keadaan ini telah mencetuskan kekeliruan dan kebimbangan berkenaan dengan keabsahan autoriti individu tersebut.

Insiden ini menunjukkan perlunya akauntabiliti yang lebih kukuh, proses pelantikan yang jelas, dan tapisan kelayakkan yang lebih ketat. Pengalaman Guantanamo membuktikan bahawa kepakaran sebenar mestilah bersandarkan kepada kelayakan yang disahkan, latihan pelbagai disiplin, pengalaman lapangan, dan pemantauan institusi dan bukan sekadar jenama peribadi, kepercayaan ideologi, atau hubungan dengan orang yang berpengaruh.

Tanpa perlindungan ini, individu yang rentan berisiko disalah arah, dilukai semula, atau dimanipulasi, dan keseluruhan proses keselamatan negara boleh terjejas.

Ketiga, deradikalisasi adalah bersifat relasional, bukan doktrinal.

Sepanjang penilaian, kedua-dua individu menunjukkan sikap mesra, pandai berlawak jenaka, kejujuran emosi, penyesalan, dan penghargaan mendalam kepada panel penilai yang disertai oleh pakai dari pelbagai disiplin. Kesediaan mereka untuk merenung kesilapan lalu dan menyatakan hasrat membina kehidupan baru tidak timbul daripada perdebatan teologi yang bersifat konfrontasi atau proses pendidikan semula yang memaksa.

Sebaliknya, perubahan yang ditonjolkan oleh mereka adalah berdasarkan kepada pendekatan panel penilai yang berdasarkan berikut:

  • kepercayaan dan empati dengan penzahiran pendengaran aktif;
  • kepekaan budaya;
  • sikap hormat terhadap autonomi mereka; dan,
  • pemberian keyakinan kepada mereka terhadap hak asasi mereka mengikut lunas undang – undang. 

Pendekatan panel yang tidak bersifat menghakimi ini memberi ruang kepada mereka untuk: 

  • meluahkan penyesalan;
  • mengakui bagaimana mereka telah dimanipulasi sewaktu muda; dan,
  • berkongsi harapan terhadap keluarga, pekerjaan, perkahwinan dan kehidupan normal.


Dapatan ini mencabar anggapan tradisional CT/PCVE bahawa deradikalisasi memerlukan pembetulan ideologi. Hakikatnya, membina hubungan baik, pengiktirafan maruah seseorang dan keselamatan emosi merupakan pemacu utama kepada pengunduran tingkah laku ganas dan proses integrasi semula.

Selain itu, ini juga menyanggah anggapan bahawa pendedahan kepada wacana undang-undang atau hak asasi manusia bakal mencetuskan penentangan daripada bekas tahanan. Malah, celik undang-undang meningkatkan kesiapsiagaan mereka untuk diintegrasikan semula. Penglibatan bertahun-tahun dengan peguam bela mereka telah membentuk kefahaman mendalam tentang hak perlembagaan, proses perundangan, dan kesan perjanjian mengaku bersalah.

Kesedaran undang-undang ini membantu mereka menerima tanggungjawab, meluahkan penyesalan dalam kerangka etika dan undang-undang, dan mengemudi sistem keadilan Malaysia dengan lebih yakin. Pemerkasaan undang-undang, apabila diamalkan dengan baik, boleh membina kepercayaan terhadap institusi negara dan mengurangkan rasa terasing yang boleh menyuburkan naratif radikal.

Keempat, kerjasama pelbagai disiplin adalah penting.

Kepelbagai disiplin dalam penilaian adalah kekuatan utama. Dengan menggabungkan kepakaran kriminologi, psikiatri, kaunseling, sosiologi dan motivasi, pasukan ini berjaya memperoleh pemahaman holistik terhadap keadaan psikologi, latar belakang sosial, profil risiko dan keperluan integrasi semula setiap individu.

Ini berbeza dengan pendekatan CT/PCVE yang hanya bergantung kepada ilmuwan agama, bekas militan atau pegawai keselamatan. Kes Guantanamo menunjukkan bahawa menangani isu radikalisasi, trauma, identiti dan integrasi semula tidak boleh dibahagikan secara bersendirian.

Sebaliknya, program deradikalisasi yang kukuh perlu menggunakan model pelbagai disiplin yang berpaksikan amalan berasaskan bukti, hak asasi manusia, dan kerjasama rentas sektor.

 

Cadangan

Dapatan daripada penilaian ini mengarah kepada beberapa pembaharuan penting bagi sektor CT/PCVE:

1.  Kepakaran perlu diprofesionalkan melalui akreditasi, piawaian latihan dan garis panduan etika yang menghalang individu tidak berkelayakan daripada terlibat dalam proses integrasi semula yang sensitif.

2.  Pendekatan berasaskan trauma dan hak asasi manusia perlu disepadukan di semua peringkat dasar dan operasi agar mangsa penahanan kesalahan keganasan tidak mengalami trauma semula secara tidak sengaja.

3.  Pasukan pelbagai disiplin harus dijadikan norma, bukan pengecualian, untuk menangani dimensi peribadi, psikologi, perundangan dan sosial yang kompleks dalam proses integrasi semula.

4.  Mekanisme kawalan yang ketat perlu dilaksanakan untuk mencegah salah tafsir atau penglibatan paksa oleh pihak luar yang boleh mengganggu individu yang sedang melalui laluan integrasi yang sukar.

5.  Fokus integrasi semula perlu diberi kepada usaha membina semula kehidupan melalui pekerjaan, sokongan dokumentasi, penjagaan psiko-sosial, dan hubungan komuniti—bukan semata-mata pada pemisahan ideologi. Sila baca Policy Brief INITATE.MY tentang Pengintegrasian Semua Bekas Tahanan Keselamatan di sini.

Akhir sekali, pengalaman En. M dan En. K membuktikan bahawa meskipun selepas puluhan tahun dipenjarakan secara tidak adil, diseksa dan diasingkan, individu masih boleh memilih untuk berubah apabila disokong oleh pakar yang sah dan menghargai kemanusiaan mereka.

Kes ini mencabar sektor CT/PCVE untuk meningkatkan piawaian, menilai semula andaian dan menjauhi model kepakaran berasaskan karisma atau doktrin. Pendekatan pelbagai disiplin yang berpaksikan hak dan trauma bukan sahaja lebih beretika, malah jauh lebih berkesan.

Dalam lanskap global yang semakin mempersoalkan amalan kaunter terorisma, pendekatan seperti ini penting bagi membina dasar dan kerangka undang-undang yang lebih berperikemanusiaan dan mampan.

 

Image © Joe Raedle/Getty Images
Skip to content