Kecanduan Fahaman, Kerosakan Perpaduan: Kajian di Malaysia

 

Oleh Akwa Mahzan
Beliau adalah penyelidik di INITIATE.MY

 

Pergolakan antara kaum dan agama dalam negara ini telah tercatat sekian lamanya dalam sejarah sisi gelap untuk tatapan rakyat Malaysia. Menurut satu catatan jurnal sejarah yang merujuk pandangan Cheah Boon Kheng, pergaduhan antara kaum dan agama telah wujud sebelum kemerdekaan lagi.1 Perkara ini terjadi akibat dasar pecah dan perintah yang dibawa oleh British yang meminggirkan pemodenan kaum Melayu dan seterusnya pendudukan Jepun yang membawa sentimen kebencian terhadap kaum Cina.

Sejarah konflik perkauman dan agama ini tidak terhenti di situ sahaja. Bahkan, selepas mencapai kemerdekaan, berlaku konflik perkauman sehingga kerajaan mengambil keputusan mewujudkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) demi mengembalikan semula keamanan negara dan menjamin keselamatan rakyat.

Sebelum tahun 2000-an lagi, terdapat siri-siri serangan terhadap rumah ibadat. Pada tahun 1998, berlakunya tragedi Kampung Rawa di Pulau Pinang yang disebabkan isu kuil dibina berdekatan dengan masjid dan dibina secara haram.2 Namun, itu bukanlah punca utama. Punca pertelingkahan ini berlaku apabila pihak masjid dan kuil saling meluahkan rasa tidak puas hati apabila laungan azan dan loceng kuil saling menganggu mereka bersembahyang. Kesannya, telah berlaku serangan ke atas kuil tersebut sehingga berlaku rusuhan dan mencetuskan peristiwa berdarah Kampung Rawa. Terdapat juga serangan terhadap rumah ibadat lain pada sekitar akhir 70-an (kes kuil di Kerling) sehingga berlaku kematian oleh penjaga kuil tersebut.3 Walaupun keganasan agama bukanlah satu fenomena khusus bagi mana-mana satu kumpulan agama, ia masih berpotensi terjadi dalam mana-mana kumpulan agama.

Maka, adakah masih berlakunya serangan kebencian terhadap kaum dan agama di Malaysia ketika memasuki abad ke-21? Banyak kes yang telah dilaporkan oleh portal media tempatan dan luar negara menunjukkan bahawa perkara ini masih berlaku. Salah satu kes yang menjadi serangan kebencian terhadap agama ialah kes keabsahan penggunaan kalimah Allah oleh penerbitan akhbar The Herald. Ekoran daripada rayuan semakan semula oleh pihak Gereja Roman Katolik, terdapat insiden yang tidak diingini berlaku iaitu serangan terhadap gereja.4 Sekitar awal tahun 2010, lebih daripada 10 buah gereja telah diserang sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Johor dan Sarawak. Gereja ini ada yang mengalami kerosakan teruk akibat kebakaran secara sengaja oleh pelaku. Malah, sepanjang kes ini berjalan pada akhir 2009 hingga awal 2015, terdapat tekanan daripada pihak kerajaan dan ucapan kebencian yang menyentuh sentimen penganut Kristian.

 

Gambar rajah di atas menunjukkan 10 serangan ke atas rumah ibadat di seluruh Malaysia yang berlaku selepas keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan kebenaran kepada The Herald untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ pada 31 Disember 2009. Sumber: Database INITIATE.MY

 

Kefahaman ekstremis Islam dengan dasar kerajaan: Satu percanggahan

Kerajaan Malaysia telah mewujudkan kepelbagaian dasar Islam bersifat moderat (kesederhanaan) untuk membersihkan pandangan bahawa agama Islam itu bersifat keras dan ganas terhadap bukan Islam.5 Antara penerapan nilai kesederhanaan Islam yang dibawa oleh pentadbiran kerajaan kita boleh lihat ialah konsep Islam Hadhari,6 al-Wasatiyyah7 dan gagasan Rahmatan Lil ‘Alamin8 yang bermatlamat untuk mewujudkan keharmonian hidup bersama dalam masyarakat majmuk. Walaupun telah wujud pelbagai konsep Islam yang berteraskan kesederhanaan, namun masih lagi berlaku ketegangan antara agama dan kaum. Persoalan yang timbul ialah; mengapakah kerangka keharmonian konsep kesederhanaan Islam oleh pentadbiran kerajaan Malaysia ini tidak memberi kesan yang menyeluruh?

Ketika pentadbiran kerajaan BN zaman Dato’ Seri Najib Razak, terdapat satu gerakan kemasukan golongan ulama’ Salafi dalam parti politik UMNO dan diberi kuasa untuk menjalankan kegiatan fahaman mereka. Perkara ini telah tercatat dalam satu artikel oleh Mohamed Nawab (2014), dan beliau menemuramah seorang ahli politik UMNO yang mencadangkan kemasukan ulama’ Salafi sebagai usaha untuk menumpang imej Islam versi UMNO.9 Implikasi ini memberi kesan kepada konsep al-Wasatiyyah dan 1Malaysia yang membawa imej moderat berbanding golongan Salafi yang umum diketahui lebih keras berhadapan dengan penganut agama lain. Sekitar tahun 2010, sekumpulan golongan Salafi muda telah membentuk Pertubuhan Ilmuwan Malaysia (atau lebih dikenali sebagai ILMU). Pertubuhan itu dianggotai kedua-dua ulama Salafi yang lebih senior seperti Sulaiman Noordin dan Rasul Dahri serta Salafi yang lebih muda seperti Fathul Bari Mat Jahaya, Fadhlan Osman dan Ahmad Fauzan Yahya. Beberapa ulama ini juga merupakan ahli UMNO.

Apa yang lebih membimbangkan adalah apabila kumpulan ini diberi peluang untuk berucap atas pentas politik perhimpunan UMNO ketika parti tersebut merupakan parti dominan yang memerintah kerajaan. Bahkan, Rasul Dahri yang telah disekat daripada muncul di media massa atas pandangan yang ekstrim telah dibenarkan kembali untuk bercakap pada ketika itu. Walaupun konsep Islam moderat yang dibawa oleh Najib Razak adalah bertujuan untuk memupuk rangka keharmonian negara, peranan ILMU telah merebak secara meluas setelah diberi ruang untuk mempengaruhi polisi kerajaan dengan mengeluarkan pandangan pengharaman berasaskan hujah keagamaan terhadap penentangan kerajaan, umpamanya penglibatan BERSIH10 dan serangan terhadap parti politik pembangkang yang dikatakan membawa agenda pluralisme.11

Di bawah pimpinan kerajaan Pakatan Harapan, mereka meneruskan konsep gagasan Islam baharu iaitu Rahmatan Lil ‘Alamin. Namun, ia tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh kerana tempoh pentadbiran yang pendek dan sentimen agama yang dibawa oleh parti politik pembangkang yang berleluasa pada ketika itu seperti ekoran propaganda pihak berkepentingan yang memainkan isu kematian arwah Adib dan isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD). 

Paranoia dalam kalangan orang bukan Islam

Maka, berdasarkan pengaruh agama Islam yang keterlaluan sehingga mewujudkan pelbagai konsep atau dasar penerapan Islam dalam sistem politik dan pentadbiran negara ini, orang bukan Islam akan terkesan secara tidak langsung untuk meneruskan kehidupan dalam negara ini. Sebagai contoh, urusan dengan pentadbiran kerajaan dan sukatan pendidikan di sekolah. Orang bukan Islam terpaksa menerima cara dasar ini dilaksanakan tanpa membincangkan dan persetujuan bersama dengan mereka. Lebih malang, mereka tidak dibenarkan untuk mengkritik dan bersuara apabila undang-undang Islam (contoh: Hudud) ingin dilaksanakan atas alasan perbezaan agama. 

Menurut kajian oleh A. Faizuddin, Jaffary dan Zaizul (2020),12 Islamofobia yang wujud dalam kalangan bukan Islam dalam Malaysia lebih kepada persepsi tertentu seperti pelaksanaan dasar Islam yang mengancam kelangsungan hidup mereka. Kewujudan kebanyakan dasar yang memfokuskan hal ehwal umat Islam hakikatnya tanpa sedar akan memberi kesan kepada orang bukan Islam terutamanya dalam isu penukaran agama, mahkamah syariah, permohonan tanah untuk pengebumian, dan sebagainya.

Ironinya, pengumuman dan pelaksanaan dasar Islam yang lebih moderat ini sendiri kurang difahami oleh orang bukan Islam. Sebagai contoh, konsep Islam Hadhari. Menurut kajian Abdul Rahman et.al (2009), konsep Islam Hadhari telah mencetuskan dua persoalan dalam kalangan bukan Islam. Pertama, apakah Islam Hadhari agama baharu? Kedua, adakah Islam Hadhari satu proses Islamisasi yang baharu di Malaysia? Disebabkan kurangnya penerangan serta wacana terhadap konsep-konsep ini, muncullah pelbagai persepsi di kalangan masyarakat bukan Islam. Bahkan, istilah perkataan ‘Islam’ itu sendiri menyebabkan penganut agama Buddha, Hindu, Kristian, dan lain-lain merasakan mereka dipinggirkan.13

Kita tidak boleh menolak kemungkinan bahawa penganut bukan Islam merasakan faktor kaum juga memainkan peranan dalam sentimen agama ini. Pelaksanaan berorientasikan agenda Islamisasi ini dikaitkan untuk usaha orang Melayu-Islam untuk mendominasi segenap aspek kemasyarakatan dan mendiskriminasi masyarakat bukan Islam dalam politik dan pentadbiran. Apabila berlaku keadaan ini, tidak peliklah apabila mereka membantah pelaksanaan dasar Islam untuk mewujudkan kerangka keharmonian agama, kerana tiada penjelasan yang lebih teliti oleh pihak berwajib mahupun kerjasama dengan wakil bukan Islam untuk bersama-sama melaksanakan dasar sosial yang melibatkan kesemua agama. Dalam konteks ini juga,  penentangan terhadap pengajaran tulisan khat/Jawi dalam sukatan pelajaran sekolah rendah telah berlaku di kalangan masyarakat bukan Melayu kerana bahawa tulisan jawi itu disamakan dengan ajaran Islam, walaupun ia sebenarnya adalah budaya semata-mata.14

Dialog dan modul yang menepati perpaduan negara

Untuk menuju kemakmuran negara, salah satu cadangan yang masih relevan untuk dijalankan adalah mengadakan modul rentas budaya dan agama. Rentas budaya bermaksud berkongsi pengalaman dan pendedahan mengenai budaya kaum lain dan nilai fahaman yang boleh dipraktikkan untuk semua lapisan. Kementerian Pendidikan Malaysia seharusnya mengeluarkan satu panduan aktiviti bulanan yang boleh diadakan peringkat sekolah rendah dan menengah seperti sketsa dan dialog ibubapa pelajar bersama kaum dan penganut agama lain. Cadangan membawa memperkenalkan program rentas budaya ini pernah dimurnikan oleh pihak KPM sendiri yang membantah cadangan Majlis Belia Malaysia mewujudkan subjek khusus mengenali agama lain pada tahun 2019. Untuk memastikan program ini menepati perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama, KPM seharusnya menggalakkan kesemua jenis sekolah untuk mengadakan program bersama. Sebagai contoh, di Pulau Pinang, terdapat kerjasama program rentas budaya antara Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dengan Sekolah Menengah Agama Kebangsaan untuk memupuk kefahaman dan perpaduan kaum.15 

Dengan mengambil salah satu contoh daripada negara Indonesia, modul yang bersesuaian untuk peringkat sekolah ialah memperkenalkan pendidikan anti-perkauman. Pendidikan anti-perkauman ini merangkumi tiga komponen: 1) Kesedaran moral mengenai bukan perkauman–hak sama rata dari aspek emosi, intelektual, dan tingkah laku, 2) Sejarah dan kesan perkauman seperti golongan Nazi dan pelaksanaan dasar apartheid di negara-negara lain, dan 3) Melawan perkauman–memupuk tanggungjawab bersama memupuk keharmonian. Ia menggalakkan pelajar dan guru untuk melaksanakan pembelajaran mereka tentang kepelbagaian dalam tindakan untuk keadilan sosial.16 Sebagai kes di Indonesia, etnik Jawa sebagai kelompok majoriti telah mendominasi dalam sukatan pendidikan Sejarah tanpa mengambil kira sumbangan etnik yang lain. Konsep pendidikan kemajmukan masyarakat harus diterapkan dalam sistem pendidikan dan program di sekolah. Seperti dalam negara ini, kita juga harus mengambil kira sumbangan kaum minoriti dan orang asal secara terperinci di dalam sukatan pelajaran sekolah kita. Ini bertujuan untuk keadilan kepada semua pihak tanpa mewujudkan sikap ingin menguasai kaum lain-lain.  

Cadangan yang lain ialah menjalinkan kerjasama pihak kerajaan bersama badan badan sosial awam untuk merombak dan melaksanakan modul deradikalisasi yang bersesuaian. Tujuannya adalah untuk melakukan pemulihan pemikiran yang lebih aman dan terbuka dengan konsep sosial Malaysia kini. Tempoh proses pemantauan ialah 6-12 bulan sepanjang modul ini dijalankan untuk melihat prestasi pemulihan fahaman individu dan harus memberi pendedahan perlembagaan Malaysia selari dengan tafsiran undang-undang pro-hak asasi manusia. Salah satu cadangan proses melaksanakan modul deradikalisasi dengan lebih berkesan ialah melantik kaunselor untuk bersama para ustaz dan ustazah yang bersesuaian untuk memberi kaunseling kepada tahanan pengganas. Bahkan, kaunselor juga boleh bekerjasama dengan badan sosial awam yang lebih moderat untuk mencapai objektif pemulihan pemikiran tahanan tersebut. Usaha ini terbukti apabila kerajaan Singapura melaksanakan proses ini untuk modul deradikalisasi.17

Oleh itu, cadangan ini adalah merupakan satu penyelesaian yang boleh mengurangkan ketidaksefahaman antara kaum dan agama. Dengan menyahut konsep ‘Keluarga Malaysia’, kita mahu keadilan dan keamanan dalam negara ini. 

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi organisasi.

 


  1. Haniffa, M. A. (2012). Pergaduhan Kaum di Tanah Melayu Selepas Pendudukan Jepun Hingga Darurat Diisytiharkan. SEJARAH, 20(20), 97–123.
  2. Yee, C. M. (15 April 1998). Malaysian Hindu-Muslim Riot Is Eerie Echo of 1969 Terror. WSJ.
  3.  Parlimen Malaysia. Dewan Rakyat. 18 Oktober 1978. Col. 632-633. https://www.parlimen.gov.my/hansard-dewan-rakyat.html?uweb=dr&arkib=yes
  4. Reporter, G. S. (8 January 2010). Malaysian churches attacked with firebombs. The Guardian.
  5. Proses Islamisasi yang dibawa oleh parti kerajaan memerintah pada mana-mana penggal bertujuan untuk menjadikan Islam sebagai sebahagian dasar sesebuah negara. Namun, menjadi permasalahan utama ialah apabila nilai agenda Islamisasi ini tidak dibincangkan secara Khusus dengan wakil bukan Islam atau badan bukan kerajaan bukan Islam untuk memahami nilai yang dibawa. Maka, ia berlaku kekaburan maklumat mengenai konsep Islam yang ingin dibawa oleh pihak pemerintah.
  6. Hussain, A. A. (2006). Islam Hadhari: Suatu Kesinambungan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam selepas Era Tun Dr. Mahathir Mohamad. REKAYASA – Journal of ethics, legal and governance, 2, 1-10.
  7. Abdul Hamid, Solahuddin (2020). Wasatiyyah: konsep dan pelaksanaan. UUM Press.
  8. Mohd Khalli, M. N., Sintang, S., & Marinsah, S. A. (2020). Rahmatan Lil ‘Alamin: Kerangka Konsep Keharmonian Di Malaysia. Sains Insani, 5(2), 32–42.
  9. Osman, M. N. M. (2014). Salafi Ulama in UMNO: Political Convergence or Expediency? Contemporary Southeast Asia, 36(2), 206–231.
  10. Abuaqif. (1 Julai 2011). Demonstrasi BERSIH 2.0 – UFMO – Silap Pendalilan Hadith Halal Demonstrasi [Video]. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=0TwcmcRJ188
  11. Abuaqif. (26 Disember 2012). Kalimah Allah: Lim Guan Eng Timbul ‘KRISTIANOFOBIA’ [Video]. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=40aCCCod_9Y
  12. Ramli, A. F., Awang, J., & Ab Rahman, Z. (2020). Identifying Islamophobia in Malaysian Buddhist Context. JOURNAL OF ISLAMIC SCIENCES AND COMPARATIVE STUDIES, 4(2), 85–108.
  13. Mahmood, A. R., Hj Salleh, K., Sunawari Long, A., & Badaruddin, F. (2009). Penerimaan Bukan Islam Terhadap Proses Islamisasi di Malaysia. Jurnal Hadhari, 33–51.
  14. Jeevendran, K. (26 Ogos 2019). Tulisan Jawi: Arun Dorasamy dan Sekat ‘hasut’ pelajar menentang kerajaan. Malaysia Gazette.
  15. Bernama (2019, May 19). Kementerian tolak cadangan perkenal subjek kenali agama lain. Malaysiakini. https://www.malaysiakini.com/news/476723
  16. Noor, N. M., & Siregar, F. M. (2013). Religious and Multicultural Education: Introducing Interfaith Dialogue in the Indonesian Educational System. Al-Albab, 2(1), 67–75.
  17. Kamaruddin, M. N., Mat Noordin, N. N., & Abd Rahman, A. R. (2017). Terrorist Deradicalisation Programme in Malaysia: A Case Study. Journal of Media and Information Warfare, 10, 25–49.